Menginstitusikan Pasukan Penyelidik PAS

By | December 30, 2022
Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

Selepas tamat belajar di UIAM, saya menghubungi Dr Dzulkefly Ahmad untuk memohon kerja sebagai Pegawai Penyelidik di Pusat Penyelidikan PAS. Saya dipanggil untuk menjalani sesi temuduga bersama beliau dan juga ujian penulisan bahasa Inggeris. Setelah selesai ujian ringkas, saya dibawa ke tingkat empat untuk berjumpa dengan Dr Hatta Ramli. 

Saya bermula sebagai Pegawai Penyelidik sepenuh masa dan dibayar gaji oleh Pejabat PAS. Hanya saya seorang yang fokus kerja menyelidik, mencari maklumat dan merumus isu-isu semasa di pejabat. Bahan-bahan tersebut dimanfaat oleh Dr Dzulkefly selaku Pengarah Pusat Penyelidikan PAS sehingga beliau menang sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor. 

Pada ketika itu, banyak tugasan saya selaku Pegawai Penyelidik adalah untuk membantu beliau sebagai Ahli Parlimen. Menyediakan soalan dan bahan-bahan untuk ucapan bahas di dewan. Begitulah rutin sepanjang setahun lebih sebelum saya bertugas membantu Ustaz Nasharudin Mat Isa pula sebagai Pegawai Khas Ahli Parlimen Bachok.

Walaupun PAS menang sebanyak 23 kerusi pada tahun 2008 namun belum wujud sebuah institusi penyelidikan, digerakkan oleh sekumpulan penyelidik sepenuh masa dan diurus secara sistematik di bawah pejabat PAS. Sekiranya ada sekalipun, ia bergerak silo di bawah tanggungjawab dan seliaan ahli Parlimen sendiri. Begitulah berlaku sehingga tahun 2018.

Tahun 2018, PAS menang 18 kerusi. Ahli-ahli Parlimen dari Terengganu adalah seramai enam orang. Mereka dibantu oleh barisan penyelidik yang dibayar gaji sepenuh masa, tersusun dan khusus untuk membantu kerja penyelidikan kepada ahli Parlimen dari Terengganu. Mereka dipantau dan diselia dengan baik sama ada semasa sidang dan luar sidang Parlimen. 

Ahli Parlimen dari Kelantan pula dibantu oleh pegawai tidak tetap yang silih berganti setiap minggu dari Kelantan, manakala Ahli Parlimen dari Kedah dibantu oleh pegawai khas yang bekerja secara multi-tasking. Di peringkat dalaman parti, wujud kumpulan sukarelawan terdiri daripada pelbagai bidang yang membantu ahli-ahli Parlimen. 

PAS menang besar dan memperoleh 43 kerusi di Parlimen. Jumlah paling tinggi dalam sejarah dan dalam kalangan parti-parti politik lain. Kerusi yang tidak pernah dimenangi seperti Alor Setar, Jasin, Permatang Pauh dan Kapar turut dimenangi PAS. Walau apa pun nama gelombang yang diberi, ia sebenarnya adalah mandat besar rakyat kepada PAS. 

Secara logik, jumlah sebesar ini perlu didukung oleh sekumpulan pasukan penyelidik parti yang lebih berstruktur, bersistematik, berkhidmat sepenuh masa dan diselia oleh badan berautoriti. Tiada lagi kerja secara silo. Tiada lagi sekadar ‘asal ada’. Kehadiran ahli Parlimen PAS di dewan perlu lebih bermakna, membawa idea-idea segar, alternatif dan kuat. 

Hasrat ini perlu direalisasikan. 

Menginstitusikan sebuah pasukan penyelidik PAS amat perlu pada waktu ini. Mereka bukan hanya pembantu ahli Parlimen tetapi berpeluang untuk mendalami bidang polisi tertentu, malah berpotensi untuk dijadikan subjek kajian pasca siswazah, dan seterusnya merajah laluan kerjaya yang lebih stabil.

Sebenarnya, ahli Parlimen PAS mudah didekati dan senang berurusan bersama rakyat. Mereka hidup bersama rakyat. Walaupun, kadang kala tugasan mereka seperti ADUN, tetapi itulah yang dimahukan oleh rakyat terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Namun kita perlu sedar, penguasaan sesuatu bidang polisi adalah satu keperluan. 

Saya amat berharap hasrat menginstitusikan pasukan penyelidik PAS akan direalisasikan tahun 2023 ini. Kita tidak perlu menjadi sempurna untuk bermula. Kita perlu memulakan langkah pertama. Insya-Allah. 

Putrajaya 6 Jamadil Akhir 1444 | 30 Disember 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *