Prolog Politik Perubahan Iklim

Artikel ini tidak memerihalkan politik daripada konotasi negatif, persaingan dan permusuhan.  Politik yang dimaksudkan adalah mengurus, mentadbir dan menuntun negara ke arah kebijakan serta kemaslahatan awam. Polisi-polisi pentadbiran yang digarap mestilah berasaskan kepada acuan pemikiran yang betul, adil dan berkebajikan. Politik yang mengurus kepentingan awam sama ada dengan pendekatan mitigasi dan adaptasi terhadap kesan perubahan iklim.

Perubahan iklim adalah perubahan signifikan purata keadaan cuaca seperti suhu, taburan hujan, kelembapan dan corak angin dalam tempoh jangka masa yang panjang, satu dekad atau lebih. Perubahan iklim bukan wacana baharu, bahkan pernah dikupas oleh para pengkaji sejak kurun ke-18 ketika mencari jawapan kepada pergerakan bongkah batu besar yang berselerak sekitar Eropah disebabkan oleh pencairan glasier.

Para pengkaji seperti Joseph Fourier, John Tyndall dan Svante Arrhenius menemukan formula yang mendakwa konsentrasi gas rumah hijau di atmosfera i.e karbon dioksida mempengaruhi cuaca dan iklim, sejuk dan panas di bumi. Bertitik tolak daripada kajian saintifik tersebut, ia membawa kepada perbincangan lebih kritikal dalam kalangan pelbagai negara dunia. Kesan rumah hijau atau rumah kaca menjadi wacana arus perdana dan malar segar.

Dari persidangan Stockholm 1972, kemudian berkembang kepada penubuhan United Nations Environment Program (UNEP) 1972, penubuhan Intergovernmental Panel on Climate Change 1988, United Nations Framework Convention on Climate Change 1994, penganjuran pertama Conference of Parties (COP1) di Berlin 1995, Paris Agreement 2015 sehingga kepada COP26 di Glasgow 2020. Perundingan, pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan berkala adalah rutin dalam episod-episod tadbir urus perubahan iklim global ini.  

Penyertaan lebih 190 negara menandatangani dan meratifikasi Perjanjian Paris 2015 termasuk memenuhi obligasi antarabangsa yang lain adalah solidariti usaha untuk memastikan had suhu bumi tidak melebihi 1.5 darjah Celsius atau di bawah 2 darjah Celsius relatif kepada paras era pra industri Eropah. Setiap negara parti akan berusaha memastikan pelepasan gas rumah hijau pada kadar tertentu atau sifar bersih pada tahun yang difikirkan relevan.

Negara maju, negara sedang membangun dan negara terpinggir mempunyai misi dan terdedah kepada risiko perubahan iklim masing-masing. Sementara itu, negara sedang membangun dan negara terpinggir mendesak negara maju dan pemegang taruh yang lain untuk menyalurkan pembiayaan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti daripada negara maju. Padang yang tidak sama rata akan menyukarkan usaha mencapai misi yang telah ditetapkan.

Apa yang lebih dibimbangkan ialah transisi ekonomi konvensional kepada ekonomi hijau akan menyebabkan kesenjangan kemakmuran, inflasi hijau dan pemetaan semula geopolitik baharu dunia. Satu paksi kuasa yang dibentuk daripada kekuatan ekonomi, militer dan geostrategik, manakala satu lagi paksi kuasa yang lain dibentuk daripada kekuatan perencanaan semula polisi yang berteraskan sumber tenaga diperbaharui menuju ke arah misi pelepasan sifar bersih.  

Dunia menuju Agenda 2030. Tindakan Iklim dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) adalah sasaran kritikal untuk membina semula dunia selepas gangguan pandemik COVID-19. Enam perkara utama yang ditekankan oleh PBB untuk menyesuaipadanan agenda tindakan iklim dan pembinaan semula pasca COVID-19 ialah; (1) transisi ke arah pertumbuhan hijau (dekarbonisasi), (2) penjanaan peluang pekerjaan dalam sektor hijau, (3) penerokaan ekonomi kental iklim, (4) pelaburan baharu dalam solusi kelestarian, (5) berkonfrontasi terhadap risiko iklim dan, (6) kerjasama multi-lateralisme.

Tahun 2022 adalah tahun kelima puluh selepas persidangan Stockholm 1972. Sewajarnya dekad ini adalah dekad paling mencabar sebelum menjengah tiga puluh tahun yang seterusnya. Dunia terutama negara kita mesti bersedia dan bersegera mengukuh ketahanan menghadapi ancaman perubahan iklim yang lebih besar dan bencana alam yang lebih rencam. Bersedialah!

Leave a Reply

Your email address will not be published.